Konsep Nusantara Nusantara

Istilah "Nusantara" boleh merujuk kepada perkara-perkara yang berlainan, bergantung kepada konteksnya.

Nusantara sebagai Konsep Kebudayaan

Digunakan dalam konteks kebudayaan, istilah "Nusantara" secara amnya merangkumi pulau-pulau Asia Tenggara dan sebilangan wilayah benua yang berjiran yang bahasa-bahasa Melayu-Polinesia, serta budaya-budaya berkait merupakan budaya yang terutama. Dari sudut pandangan ini, Malaysia (termasuk tanah besar Malaysia), Filipina, dan pulau-pulau negara Indonesia (kecuali New Guinea), kesemuanya termasuk dalam konsep Nusantara. Secara linguistik, konsep ini boleh diperluas untuk merangkumi pulau-pulau Taiwan dan Madagascar kerana bahasa asli kedua-dua pulau ini juga merupakan sebahagian bahasa Austronesia.

Kerajaan-kerajaan Jawa

Menurut kitab Pararaton, Gajah Mada menyatakan dalam Sumpah Palapa:Sira Gajah Mada pepatih amungkubumi tan ayun amukita palapa, sira Gajah Mada : Lamun huwus kalah nusantara ingsun amukti palapa, lamun kalah ring Gurun, ring Seram, Tanjungpura, ring Haru, ring Pahang, Dompo, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, Hujung Medini (Semenanjung), samana ingsun amukti palapa.

Terjemahan:Beliau, Gajah Mada sebagai Patih (=Perdana Menteri) menyatakan dia akan terus berpuasa dari "palapa" (rempah-ratus dan buah-buahan). Gajah Mada berkata: Jika aku telah menguasai Nusantara (=pulau-pulau sekitar), baru aku akan berhenti berpuasa. Bila aku telah menguasai Gurun, Seram, Tanjungpura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, maka aku akan berhenti berpuasa.

Kitab Negarakertagama mencantumkan wilayah-wilayah "Nusantara", yang pada masa sekarang dapat dikatakan merangkumi sebahagian besar wilayah moden Indonesia (Sumatera, Kalimantan, Nusa Tenggara, sebahagian Sulawesi dan pulau-pulau di sekitarnya, sebahagian Kepulauan Maluku, dan Papua Barat) ditambah wilayah Malaysia, Singapura, Brunei dan sebahagian kecil Filipina bahagian selatan.

Secara morfologi, kata ini adalah kata majmuk yang diambil dari bahasa Jawa Kuna|Sanskrit nusa ("pulau") dan antara ("gugusan"). Sedangkan Nuswantara berasal dari kata nusa ("bangsa-bangsa") swa (yang "mandiri/merdeka") anta ("suci/ anak dari dewa/ keturunan mulia") dan tara ("kesatria kebenaran").

Di bawah Kerajaan-kerajaan Jawa, istilah "Nusantara" ialah istilah yang paling luas antara tiga istilah yang digunakan untuk menghuraikan lingkungan pengaruh raja-raja Jawa:

  • "Negara Agung"' digunakan untuk menghuraikan kawasan di sekitar ibu kota yang tertakluk kepada pengaruh raja secara langsung;
  • "Mancanegara" digunakan untuk kawasan-kawasan yang budayanya adalah serupa dengan kebudayaan Jawa, tetapi terletak di luar lingkungan pengaruh langsung raja. Ia umumnya termasuk pulau-pulau Madura, Bali, dan mungkin juga Lampung dan Palembang.
  • "Nusantara" ialah kawasan di luar pengaruh kebudayaan Jawa tetapi masih dituntut oleh raja-raja Jawa sebagai tanah jajahan mereka, dengan raja kawasan-kawasan tersebut diperlukan membayar ufti kepada raja Jawa.

Penggunaan moden

Walaupun istilah "Nusantara" sememangnya digunakan untuk merujuk kepada wilayah-wilayah Indonesia, istilah ini secara amnya kini dipergunakan dengan erti kata yang sebenarnya dari segi konsep kebudayaan yang dihuraikan di atas.